oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed [Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM]

KEIKHLASAN dan ketelusan dalam pemberian bantuan adalah dua isu yang penting dalam membincangkan konsep governans dan integriti. Oleh kerana ia melibatkan dua pihak, iaitu pihak penyumbang dan pihak penerima maka kedua-dua isu ini mesti diberi perhatian.

Pihak penyumbang sama ada dari negara, institusi antarabangsa atau tempatan, pemimpin sesebuah negara atau mana-mana individu pasti mahu sebarang sumbangan sampai kepada kumpulan sasar atau tujuan bantuan menepati objektifnya.

Penerima pula yang mungkin terdiri daripada pihak kerajaan, institusi, pemimpin atau individu pula memastikan amanah yang diberikan kepada mereka dilaksanakan secara telus supaya tidak timbul isu yang boleh menjejaskan integriti mereka.

Dari semasa ke semasa banyak negara, NGO, pemimpin dan individu tertentu mendapat sumbangan daripada Arab Saudi. Malaysia tidak terkecuali. Selain daripada kerajaan, pemimpin dan pihak individu juga mendapat sumbangan derma daripada pemimpin Saudi.

Pemberian sumbangan bukan dikategorikan rasuah sekiranya diberi secara ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada pihak penerima.

Dalam perbincangan ini, tidak dapat dinafikan bahawa Arab Saudi adalah sebuah negara yang banyak memberikan sumbangan. Keikhlasan pihak Arab Saudi dalam memberi sumbangan jelas digambarkan melalui cara dan kaedah sumbangan diberi kepada pihak-pihak penerima.

Ada bantuan yang diberi oleh Arab Saudi secara terbuka dan ada yang dibuat secara tertutup. Bantuan-bantuan yang diberi pula tidak semestinya kepada kerajaan, tetapi termasuk individu-individu tertentu. Individu yang diberi terdiri daripada pelbagai kategori. Ada di antaranya pendakwah, pejuang Islam dan pemimpin-pemimpin negara.

Bagi bantuan yang diberi secara terbuka, tidak timbul isu ketelusan kerana kebiasaannya pengumuman akan dibuat mengenai siapa, nilai dana, apa tujuan sumbangan atau bantuan tersebut dibuat.

Menurut mereka juga, keikhlasan Arab Saudi terserlah apabila bantuan dan sumbangan yang diberi secara tertutup. Dalam konteks ini, pihak penderma tidak mahu bermegah-megah memaklumkan kepada awam siapa dan kenapa serta jumlah bantuan diberi.

Walau bagaimanapun, pihak penerima dimaklumkan secara jelas tujuan atau matlamat bantuan diberi. Yang pasti Arab Saudi secara ikhlas ingin membantu pihak yang berkaitan atas objektif yang murni.

Menurut New York Times pada Februari 1996, Arab Saudi telah memberi bantuan kepada Bosnia sebanyak AS$300 juta (nilai sekarang melebihi RM1 bilion) kepada kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin Islam di Bosnia untuk memastikan pemimpin Islam di Bosnia terus berkuasa.

Malah pada tahun 2015 Faizal Hassan, wakil tetap Kerajaan Arab Saudi di Pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva menyatakan, pada masa yang lepas mereka telah memberi sumbangan melebihi dari AS$115 bilion kepada negara-negara di dunia.

Dalam konteks bantuan secara tertutup pula, sekiranya pihak penerima meraih kejayaan hasil daripada bantuan yang diberi, pihak pemberi tidak melaung-laungkan bahawa oleh kerana bantuan atau sumbangannyalah yang menyebabkan pihak penerima berjaya. Inilah yang dikatakan sebagai keikhlasan.

Walau bagaimanapun, keikhlasan tanpa ketelusan akan menimbulkan permasalahan lain. Antaranya ialah persepsi negatif. Seperti yang diketahui ada sumbangan yang diberi oleh Arab Saudi, diberi atas nama peribadi, bukan atas nama institusi atau organisasi.

Oleh kerana perkara ini tidak dimaklumkan secara terbuka, maka pelbagai tafsiran akan timbul ke atas pihak penerima. Antaranya ialah kenapa pihak penerima tidak membuat pengisytiharan umum apabila wang tersebut diberi, lebih-lebih lagi sekiranya pihak penerima adalah seorang ahli politik.

Sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita faham tujuan Arab Saudi adalah baik, malah ucapan King Salman sewaktu menerima Anugerah Doktor Kehormat di Universiti Malaya (UM) dan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini, baru-baru ini, turut menyeru supaya umat Islam bersatu dan Malaysia dianggap sebagai contoh negara Islam yang maju dan progresif.

Maka adalah jelas dengan sumbangan Kerajaan Arab Saudi mahupun bentuk pelaburan yang besar sehingga RM40 bilion di Malaysia itu, pastinya beliau ingin melihat ekonomi kita lebih pesat berkembang, stabil politiknya dan aman makmur menuju kemajuan.

Jelasnya, adalah sudah menjadi amalan biasa dan lumrah bagi pihak Raja Arab Saudi sentiasa memberi sumbangan kepada negara Islam yang mereka kehendaki. Hal ini tidaklah menjadi suatu yang luar biasa dalam kalangan negara Arab dan dunia Islam hingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, diharapkan pihak Arab Saudi dapat juga memberi perhatian kepada pejuang-pejuang menegakkan governans dan integriti.

Kesimpulannya, keikhlasan dan ketelusan dalam pemberian bantuan serta sumbangan adalah dua perkara penting yang perlu ada untuk meningkatkan governans dan integriti dalam pengurusan pemberian sumbangan serta penerimaan sumbangan dan bantuan.

* Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pusat Governans & Integriti Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara Shah Alam. – Sumber Sinar Harian dengan tajuk asal ‘Isu ikhlas dan telus beri sumbangan’ | Foto ihsan FMT

Nota Ana Ghoib: Yang tidak disebut oleh Tan Sri Abu Kassim ialah bagaimana sumbangan ikhlas itu boleh ghaib, dibelanjakan begitu sahaja atau dipulangkan yang mana pendedahan media menunjukkan pergerakan dan perbelanjaan sumbangan ikhlas itu ke suatu arah yang semua tahu.

KLIK BACA: Najib hilang peluang bersih nama, tulis Tun Dr Mahathir

KLIK BACA: Najib merugikan bangsa – Dr Mahathir tidak pernah kalah dalam pertarungan besar politik

KLIK BACA: Rafizi lapor polis Jho Low, desak rakyat lakukan perkara sama

KLIK BACA: Siti Kasim mahu saman blogger bodoh dia cipta tuhan baru GETARAN

KLIK BACA: Orang terkorban kerana 1MDB – Tan Sri Sanusi Junid

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? Tan Sri Sanusi Junid

Advertisement