oleh Hasmi Hashim

ULASAN | Debat dengan Nazri Aziz adalah ‘kacang’ baginya.

Dr Mahathir Muhamad pernah berdebat dengan tokoh-tokoh lebih besar. Dia pernah dianggap menang, pernah dilihat kecundang. Cuma, Dr Mahathir tidak pernah kalah dalam pertarungan besar politik.

Menang-kalah dalam pilihan raya juga dia pernah. Ada yang mahukan tengkuknya dan menyingkir dia dari Umno; tapi diterima masuk semula; meniti anak tangga parti sampai jadi presiden.

Dia pernah ditentang orang nombor dua yang membentuk “Team B”; dia berjaya mengawal suasana sebelum mendaftarkan semula Umno yang hendak diharamkan oleh regu Ku Li-Musa. Dia bertempur di tahun-tahun hujung kekuasaan dengan Gerakan Reformasi dan semua parti lawan; diharunginya sehingga dapat menyerahkan jawatan kepada Abdullah Badawi dengan teratur dan selesa.

Advertisement

Saya adalah pengkritik tegar Dr Mahathir sejak 1998. Sejak berumur 21 tahun. Mungkin saya juga antara yang terawal menuliskan dalam puluhan esei tentang apakah “Mahathirisme”.

“Mahathirisme” adalah satu istilah yang dicipta untuk melihat Dr Mahathir secara pemikiran. Melawan Dr Mahathir bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi ramai ahli politik, tapi tak ramai yang berusaha menandinginya secara pemikiran.

Bagi Dr Mahathir, menjadi demokratik memang bukan semudah teori di dalam buku. Baginya, apa yang lebih penting di atas semua teori itu adalah bangsa (nation) tidak rugi. Dalam politik kenegaraan, bangsa adalah segala-galanya.

Salam pun tak ingin

Dia tak menyokong PM Najib Razak atas sebab itu. Najib telah menyebabkan bangsa ini bukan sahaja rugi, tapi rugi besar.

Projek pembangunan seperti Forest City merugikan bangsa; menjual Proton kepada syarikat asing merugikan bangsa; GST merugikan bangsa; meminjam sampai RM55 bilion dari China merugikan negara; wang negara hilang melalui 1MDB lagilah jelas-jelas merugikan bangsa.

Dalam banyak keputusan pentadbiran Najib walaupun atas nama “Islam” tetapi sesungguhnya tidak Islamik dan telah menyebabkan bangsa berada dalam kerugian yang amat parah. Tak pernah terjadi sebelum ini.

Sebagai seorang yang tertindas di hujung era kekuasaan Dr Mahathir, bersalam dengannya pun saya tidak mahu. Di Bukit Bintang, KL kami pernah berselisih beberapa tahun lalu. Dia betul-betul di sebelah saya. Tidak saya sapa.

Pada 1999, potrait Dr Mahathir di rumah kampung saya turunkan – sedangkan dia adalah satu-satunya PM yang saya kenal sejak kecil; selalu dimuliakan hampir seluruh keluarga serta orang kampung kami. Rumah kami juga adalah bilik gerakan BN dalam entah berapa kali PRU.

Apa yang dia lakukan ke atas Anwar saya anggap keterlaluan. Saya bukannya kenal Anwar. Tidak lebih daripada Dr Mahathir sendiri mengenali Anwar.

Sembilan belas tahun berlalu. Hari ini tanpa disangka Dr Mahathir bukan sahaja keluar Umno, tetapi memulakan penentangan baru terhadap Umno-BN selepas Anwar dipenjara.

Dr Mahathir pergi berjumpa anak didiknya itu di mahkamah. Bersalaman. Menepuk lengan Anwar. Anwar ketawa. Dia tersenyum.

Di situ, Dr Mahathir mungkin telah melihat dengan mata kepalanya sendiri betapa sukarnya hidup turun-naik mahkamah. Keluar-masuk penjara. Sukarnya mengukir senyuman, apatah lagi untuk ketawa.

Tak sekedar itu, isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali pergi mencari rumah Anwar di Bukit Segambut untuk bersemuka dengan Dr Wan Azizah Ismail. Kala Dr Wan Azizah sakit dan masuk hospital, Dr Siti Hasmah pergi menjenguk. Semua ini tak tergambarkan akan terjadi akhirnya.

Dalam satu pertemuan dengan otai aktivis 1998 sebulan lalu di Shah Alam, ada yang sangat penting muncul dari mulut Dr Mahathir dengan nada sederhana. Katanya, “saya adalah hasil perjuangan Reformasi.”

Bukan pemikir bangsa

Perjuangan Reformasi sejak 1998 memang tak sia-sia. Beruntunglah siapa yang pernah menitinya—membuka jalan kebebasan kepada sesiapa pun untuk bersama terutama ketika tertindas oleh rejim Umno-BN. Termasuk Dr Mahathir.

Justeru itu tidak perlulah rasanya kata maaf sampai meraung melutut-lutut untuk kita menyedari bahawa seorang mantan PM seperti Dr Mahathir akhirnya mengakui bahawa dia hari ini muncul kembali “hasil perjuangan Reformasi”.

Inilah yang paling ditakuti Umno-BN. Khususnya PM Najib. Kali ini Najib perlu berhadapan dengan mantan-mantan bosnya, dari Anwar sampai ke Dr Mahathir.

Dulu ketika gandingan Dr Mahathir-Anwar sangat erat mengemudi Umno-BN dan kerajaan, prestasi Najib di sana taklah terlalu menonjol. Seperti lazimnya pemimpin Umno bertaraf menteri, mereka jadi pak turut.

Tak seperti Dr Mahathir atau Anwar, Najib tidak mempunyai latar sebagai seorang pemikir bangsa. Tak ada apa-apa gagasan sebelum dia menjadi orang nombor satu. Najib tak ada apa yang disebut sebagai “intellectual profile”.

Tiada sekeping pun tulisan atau pandangan daripada buah fikirannya dapat kita baca. Ucapan dan kata-kata di pentas selalu terasa janggal —terlihat semua itu ibarat bunga palsu. Digubah orang lain untuk dia memakainya.

Apa pun kritikan orang terhadap Dr Mahathir, dia tak berhenti menulis. Tak henti melontarkan buah fikiran. Sejak zaman muda dia berpolitik. Anwar juga begitu.

Masing-masing ada buku yang masyhur. Anwar paling tidak ada dua buah buku iaitu Menangani Perubahan dan Gelombang Kebangkitan Asia. Mahathir pula dengan Dilema Melayu yang cukup menggegar ketika dia disingkir dari Umno dahulu. Benar atau salah setiap pandangan di dalam buku mereka itu adalah soal yang boleh terus dibincangkan.

Pemimpin yang sekaligus bertindak sebagai seorang pemikir bangsa merupakan tradisi kepimpinan dunia. Hampir semua negarawan ulung sama ada di Timur dan Barat adalah pemikir bangsanya. Di situlah dapat dikesan apakah seseorang ahli politik itu semata kemaruk kuasa, pangkat dan harta; atau, dia juga selalu resah memikirkan akan nasib bangsanya.

Seokarno di Indonesia, Mahatma Ghandi di India, Joze Rizal di Filipina, George Washington di Amerika dan ramai lagi negarawan bangsa-bangsa besar adalah pemikir yang dapat kita telaah padangan dalam tulisan-tulisan mereka. Najib? Langsung tak ada!

Mustahak dijadikan penjahat

Apabila Dr Mahathir-Anwar berjabat tangan tempoh hari, saya terasa beban di bahu terlerai. Perjuangan sudah selesai. Boleh kembali melukis atau membuat pekerjaan lain selain politik.

Beberapa bulan sebelum itu, saya sedikit sebanyak ada mencanangkan agar keduanya berbaik semula. Permusuhan dan cerita lama diketepikan. Tidak lain demi bangsa. Tidaklah kita mahu salah seorang dari mereka menjadi pahlawan kesiangan.

Pada awalnya, pandangan itu diejek dan dicemuh. Tidak kurang di kalangan anggota parti-parti pembangkang dan aktivis yang menyindir, konon saya sudah melupakan Anwar dan idealisme perjuangan.

Pengalaman melawan Dr Mahathir menjadikan ejekan, cemuhan dan sindiran sebegitu tak termakan di dada saya. Namun apakah luka di dada dan persoalan peribadi lebih mustahak ketimbang kemelut bangsa di era Najib ini?

Najib dan agen-agennya cuba menggunakan sejarah perseteruan Dr Mahathir-Anwar sebagai jampi agar tidak wujud satu kesatuan pembangkang yang kuat. Tatkala Umno-BN lemah dan hanya memperolehi 49 peratus undi popular, strategi terakhir Najib adalah dengan memecah-belah dan memporak-perandakan pembangkang. Berapa pun harganya, pasti dibayar.

Mustahak bagi Umno untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai watak penjahat sepanjang zaman dan musuh negara – enemy of the state. Di situ mahu dialih realiti seolah-olah yang berkuasa dan masih menjadi PM adalah Dr Mahathir. Padahal Najib.

Sepatutnya kita perlu belajar dari mantan presiden Indonesia, Gus Dur. Selepas presiden kedua Indoensia, Seoharto digulingkan, dan apabila ditanya siapakah musuh politik di dalam hidupnya, Gus Dur menjawab “Pak Harto”. Kata-katanya tidak terhenti di situ. Sambungnya lagi, “itu pun telah saya maafkan.”

Melawan orang yang sudah tidak punya kuasa adalah tindakan bacul. Ada di antara mereka yang berterusan mahu menimbulkan syak atau memusuhi Dr Mahathir, hanyalah tersorok ketika maraknya perjuangan Reformasi dahulu. Segelintirnya tak timbul sama sekali pun.

Alangkah keanak-anakan apabila penentang Dr Mahathir menentang dia kerana batang tubuh Dr Mahathir. Di sinilah mereka sebenarnya telah menjadi “mahathirisme” dalam pengertian yang mereka lawan itu sendiri.

Kita boleh faham mengapa Dr Mahathir begitu keras ketika berkuasa kerana tak lain mahu mempertahankan kuasa. Tetapi kita sukar untuk faham apa tujuannya orang yang tak ada kuasa itu tetapi keras menentang Dr Mahathir yang juga tiada kuasa itu? Apa yang mahu dipertahankan?

Lainlah kalau segelitir dua itu memang mahu membela Najib yang sedang berkuasa dengan menjadikan Dr Mahathir sebagai alasan untuk tidak bersama dalam gabungan parti-parti pembangkang yang menentang Najib. Dan, jangan-jangan golongan ini tidak pernah dan tidak akan membela Anwar barang sedetik pun. Dulu dan kini.

Ibarat Nazri yang baru tersedar bahawa dia tak perlu debat untuk mempertahankan Najib; samalah tak perlu masuk Umno untuk mempertahankan Umno; tidak perlu jadi pencuri untuk mempertahankan si pencuri; tak perlu bersama penjahat untuk mempertahankan kejahatan. Bukankah semudah itu sahaja?

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Susunan: Berita Mimpi – Ana Ghoib Hud’s – Mimpi dan penglihatan-penglihatan aneh

KLIK BACANajib hilang peluang bersih nama, tulis Tun Dr Mahathir

KLIK BACA: Rafizi lapor polis Jho Low, desak rakyat lakukan perkara sama

KLIK BACA: Dr Mahathir dakwa Najib melampaui batas kuasa

KLIK BACA: 8 tahun derita di bawah pemerintahan NAJIB – Kadir Jasin

KLIK BACA: Saya sudah kata GST memihak golongan kaya mendera rakyat miskin – ANWAR

KLIK BACA: Orang terkorban kerana 1MDB – Tan Sri Sanusi Junid

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? Tan Sri Sanusi Junid

Advertisement

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share