Bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa sentimen anti (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) dan (Datin Seri) Rosmah (Mansor) sedang berada di kemuncaknya di seluruh negara pada masa ini.

Beliau yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan berkata, sentimen sedemikian dapat dirasakan di banyak tempat termasuk pejabat kerajaan, surau atau masjid apatah lagi di kedai-kedai mamak.

“Pengalaman memberitahu saya sekalipun kebangkitan anti (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) hangat memuncak ketika rakyat menyokong reformasi (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tetapi orang ramai tidak bersuara secara terbuka seperti sekarang yang merangkumi semua peringkat rakyat.

“Saya tidak perlu menambah cerita tentang sentimen anti Najib dan Rosmah yang panas memuncak di seluruh negara sekarang yang dapat kita ciumi, dengar dan lihat di mana juga kita pergi; di pejabat kerajaan, di surau atau masjid apatah lagi di kedai-kedai mamak.

“Hanya satu permintaan saya kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), polis bahagian khas (SB), perisik tentera dan juga jentera-jentera Umno, beritahulah secara jujur dan terus terang akan perasaan sebenar rakyat terhadap Najib demi keselamatan Umno dan orang Melayu,” kata beliau dalam blognya.

Beberapa hari yang lalu, Najib menulis di blognya, kritikan tidak akan menghalang kerajaan daripada terus berkhidmat kepada rakyat.

Sambil menggesa rakyat Malaysia menghayati kemerdekaan yang dikecapi sejak enam dekad lalu, Najib mengingatkan bahawa seseorang ‘tidak akan menghargai sesuatu sehingga kehilangannya’.

“Biarlah mereka nak kata apa pun, kerajaan hari ini tetap terus menabur bakti. Biarlah mereka nak kata apa pun, segala khidmat tetap diteruskan.

“MRT, LRT, Pengerang, KL118, Jambatan Pulau Pinang Kedua, Lebuhraya Pan Borneo, KLIA2, Kota Iskandar, Lebuhraya Pantai Timur 3, Rumah PR1MA, Perumahan Rakyat, Klinik 1Malaysia, subsidi pendidikan, subsidi perubatan, Teraju, Tekun, BR1M, SL1M, UTC, RTC, 1Azam, eRezeki, Dana Mudahcara, dan pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat.

“Semuanya bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Semuanya demi negaraku yang tercinta,” kata Najib lagi.

Mengulas lanjut, Zainuddin yang terkenal dengan gelaran Zam berkata, semakin kuat kempen memburuk-burukkan Mahathir di televisyen dan akhbar-akhbar Umno, semakin memuncak kebencian dan kemarahan pada Najib.

“Orang yang waras tidak melihat faedah kepada Najib atas beberapa isu yang cuba dipanaskan walaupun sebenarnya tidak lagi panas.

“Umpamanya penduduk di kawasan Felda memberitahu saya – kami tak tahu kisah BMF, itu kisah 30 tahun dahulu, mana kami nak ingat”

“Orang di bandar-bandar lagi sinis. Mereka kata Najib dah habis modal. Nampak benar dia cemas dan panik. Macam-macam ditimbulkan nak lupakan rakyat tentang harga barang mahal, harga minyak naik dan juga harta-harta negara dijual pada China,” katanya lagi.

Tambah Zam, isu-isu yang digunakan untuk memburuk-burukkan Mahathir dilihat sebagai suatu pengakuan Najib terhadap keburukannya dirinya sendiri.

“Jika sekiranya maklumbalas ini tidak mahu diterima oleh orang Umno, BN dan juga pihak perisikan maka konklusi saya ialah ‘nak mampus, mampuslah Umno’.

“Apa nak buat lagi nasihat semua pihak yang ikhlas, yang sayangkan Umno, tak dipedulikan,” jelasnya. – Malaysiakini | Foto FMT

DIKEMASKINI: Husam: Hadi Awang melucukan, kalah saman sivil tak layak bertanding PRU

TERKINI PANAS: Peneroka kecewa kemana pergi RM4.3 bilion duit Felda, luah Shahrir Samad

TULISAN PENUH: Tun Mahathir – Umno sebagai pengkhianat

KLIK BACAPM tak patut jadi menteri kewangan, kata bekas penolong gabenor Bank Negara

KLIK BACA: PAS ikut jejak Rasulullah berpolitik secara matang, harap lahir penyokong Islam dari sulbi Umno

KLIK BACA: Ulama PAS, Nasrudin tolak motor bantah kenaikan harga minyak

KLIK BACA: Jangan tolong syaitan menghina, betulkan doakan dia – Umar Al Khattab


*Disclaimers: Articles are property of the writer or publication as mentioned, cited or linked to. As news 'curator & aggregator' we do not represent the articles republish from any third party content provider.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share