Rafizi Ramli mencadangkan agar  diwajibkan pengisytiharan harta dibuat bagi semua kakitangan atasan kerajaan, calon PRU sehingga Perdana Menteri. – Foto Rafizi Ramli Facebook

Kenyataan media oleh Rafizi Ramli

WAJIBKAN PENGISYTIHARAN HARTA (“ASSET DECLARATION”) SECARA TERPERINCI, BUKAN UNDANG-UNDANG DANA POLITIK – 1 OKTOBER 2016

Saya ketawa besar melihatkan pimpinan-pimpinan besar Barisan Nasional berlumba-lumba menyatakan kesediaan mereka menyokong cadangan-cadangan mengawalselia dana politik seperti yang dibentangkan oleh satu jawatankuasa semalam.

Selain Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menyerahkan perkara itu kepada pembangkang untuk dipersetujui kerana BN telah bersedia, pimpinan MCA telah menyatakan kesediaan. Datuk Abdul Rahman Dahlan pula memanggil saya “monyet politik” kerana menganggap semua itu helah politik untuk menutup skandal wang RM2.6 bilion masuk ke akaun Perdana Menteri.

Selain dari helah menutup skandal Perdana Menteri, saya tidak bersetuju dengan cadangan-cadangan itu kerana ia tidak mempunyai kaedah semak imbang (“check and balance”) yang paling berkesan untuk menyekat rasuah politik iaitu pengisytiharan harta secara wajib yang dikuatkuasakan oleh undang-undang.

Oleh yang demikian, saya ingin melontarkan kembali satu cadangan: saya boleh mengambil tugas meyakinkan pimpinan Pakatan Harapan untuk menerima cadangan-cadangan mengawalselia dana politik seperti yang dibentangkan dengan syarat Dato’ Seri Najib bersetuju menggubal undang-undang menguatkuasakan perkara-perkara berikut:

1. Mewajibkan mana-mana calon yang ingin bertanding dalam mana-mana pilihanraya di peringkat negeri ke atas (DUN dan Parlimen buat masa ini) mengisytiharkan harta secara terperinci mengikut kaedah yang telah digubal menjadi undang-undang. Kegagalan berbuat demikian bermakna calon itu telah melanggar undang-undang pilihanraya dan tidak layak bertanding;

2. Mana-mana wakil rakyat di mana-mana peringkat (DUN, Dewan Rakyat dan Dewan Negara) dan pegawai tinggi kerajaan berpangkat JUSA C ke atas mestilah mengisytiharkan harta secara terperinci (seperti di atas) pada setiap tahun sepanjang mereka dalam perkhidmatan, dengan menunjukkan secara terperinci perubahan-perubahan material ke atas pemilikan dan penilaian harta (“material changes to asset ownership and valuation”) bagi tahun itu berbanding tahun sebelumnya;

3. Pengisytiharan harta secara terperinci bermaksud bagi si pengisytihar, isteri dan setiap anaknya:

a. memperincikan setiap harta yang dimiliki
b. memperincikan pendapatan bulanan dari semua sumber
c. memperincikan perbelanjaan bulanan bagi semua tanggungan dan aktiviti
d. memperincikan pergerakan (“movement”) harta, pendapatan dan perbelanjaan bagi tahun itu berbanding tahun sebelumnya

4. Menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM agar SPRM bebas sepenuhnya dari campur tangan politik seperti yang berlaku sekarang dan Ketua Pesuruhjaya SPRM diberikan perlindungan di bawah Perlembagaan bahawa dia tidak boleh dipecat oleh Perdana Menteri; dan

5. Meminda Perlembagaan agar kuasa pendakwaan tidak dipusatkan di tangan Peguam Negara semata-mata; dan kuasa pendakwaan bagi kes-kes rasuah yang disiasat SPRM diberikan kepada Ketua Pendakwaraya SPRM.

Jika Dato’ Seri Najib bersetuju untuk melakukan 5 langkah di atas, saya akan menjadi orang pertama yang menyokong sebahagian besar cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut.

Saya percaya ahli politik di Malaysia sebenarnya tidak memerlukan undang-undang untuk berlaku jujur dan membenci rasuah sekiranya mereka takutkan Allah SWT.

Saya adalah orang yang pertama mengisytiharkan harta secara terperinci tahun lalu melalui perakuan bersumpah.

Saya akan mengisytiharkan harta dan pendapatan bagi tahun 2016 melalui perkauan bersumpah pada 13 Oktober 2016 untuk menunjukkan ketelusan saya. Saya akan turut mengisytiharkan setiap derma yang saya perolehi sepanjang tahun ini setakat 13 Oktober 2016.

Saya akan menghantar satu format pengisytiharan harta terperinci yang saya maksudkan di atas kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti. Saya juga akan menghantar format itu bersama-sama gesaan saya agar setiap ahli parlimen, ADUN, Exco dan Menteri Besar kerajaan-kerajaan Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang serta kerajaan Kelantan di bawah PAS mengambil langkah proaktif mengisytiharkan harta melalui perakuan bersumpah secara terperinci.

Hanya dengan memerhati ahli politik mana yang mengalu-alukan pengisytiharan harta dan yang mana memberi pelbagai alasan tidak masuk akal (contohnya risiko diculik) untuk tidak mengisytiharkan harta, barulah kita dapat tahu yang mana benar-benar serius mahu melawan rasuah.

Saya cukup yakin Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak akan berani mengisytiharkan harta yang terperinci seperti yang saya akan buat, apatah lagi mengisytiharkan semua derma-derma politik selain dari RM2.6 bilion yang diterima itu.

RAFIZI RAMLI – NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG – AHLI PARLIMEN PANDAN

TERKINI: Setem pun kena GST, berita baik untuk rakyat Malaysia

KLIK VIDEO: “DOJ kata kes 1MDB catat rekod dunia,” kata Husam

TERKINI: ‘Pemimpin lama keluarkan kata-kata kesat terhadap saya’ – Najib

TERKINI: Tun Mahathir dakwa Najib sabotaj demokrasi


Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share